Walaupun sudah tua, Tok Sara tetap menyidai sendiri bajunya di ampaian. |
KUALA NERANG - Mengamalkan makan ulam serta selalu melakukan kerja sejak muda adalah rahsia seorang warga emas yang kini umurnya mencecah 114 tahun kekal sihat.
Bagi Sara Mihat dari Kampung Baru dekat sini, ulaman merupakan makanan tradisi dan sejak itu ulaman merupakan hidangan utama kepada dia dan keluarganya setiap kali menjamu selera.
Menurutnya, ini adalah disebabkan pada masa itu selain jarak yang jauh untuk ke pekan, keluarganya tidak mampu membeli ikan dan ayam yang harganya agak mahal.
Kini Sara atau lebih dikenali dengan nama Tok Sara dalam kalangan penduduk Kampung Baru dikatakan masih sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit malah dia juga tidak pernah mendapat rawatan di hospital dengan usianya itu.
Bagaimanapun dengan usianya yang sudah melebihi 100 tahun, dia turut menghadapi masalah pendengaran hingga menyebabkannya terpaksa dibantu anaknya, Rahmah Awang yang tinggal bersamanya.
Rahmah berkata, ibunya itu dilahirkan di Kampung Lubuk Perung, Kuala Nerang dari keluarga petani dan ketika berumur 15 tahun, ibunya berkahwin dengan seorang pemuda dari Pekan Kuala Nerang.
Katanya, ibunya mula membuat kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara, Kuala Nerang selepas berkahwin dengan bapa tirinya itu dan hasil perkahwinan itu, ibunya mendapat dua anak tetapi seorang daripadanya meninggal dunia.
“Selepas itu emak berkahwin pula dengan bapa saya, Awang Tasu dan mendapat dua anak iaitu saya dan kakak, Siti Hajar tetapi tidak lama kemudian bapa pula meninggal dunia.
"Sejak dari itu emak saya terpaksa bekerja keras melakukan pelbagai kerja seperti bersawah dan berniaga untuk membesarkan kami,” katanya kepada Sinar Harian.
Rahmah berkata, pada waktu pagi, emaknya akan keluar ke pasar dengan menjual ulam yang ada sekitar rumahnya dan waktu petang pula akan pergi ke bendang untuk menanam atau membersihkan sawah.
Menurutnya, amalan ini sudah menjadi darah dagingnya dan sebab itulah sehingga sekarang pada waktu pagi, dia akan keluar berjalan kira-kira 100 meter dengan bertongkat bagi melawat anak cucunya yang tinggal di sekitar kampung ini.
Selain dari itu, Tok Sara juga dikatakan sangat mementingkan tentang makanan yang diambilnya. Sejak muda lagi setiap kali makan, dia akan memastikan pucuk-pucuk kayu akan menjadi hidangannya. Antara ulaman yang menjadi kegemarannya ialah pegaga, cemamar, putat, petai, beka dan rebung.
"Emak saya tidak suka mengambil makanan pedas dan jika tiada selera, mak boleh makan nasi berlaukkan pisang dan janggus yang masak sahaja. Selain dari itu, mak akan makan nasi hanya dua kali sehari sahaja iaitu waktu tengah hari dan petang tanpa mengambil nasi tambah.
"Pada waktu malamnya pula, mak hanya makan sekeping roti dan air gula saja serta tidak minum teh ataupun kopi. Kini dengan usianya semakin tua, seleranya turut bertukar dan emak saya hanya makan ayam rebus yang dicampurkan halia dan serai sahaja,” katanya.
Selain itu, amalannya melakukan solat sunat setiap hari membolehkannya mampu mengingat cerita-cerita lama malah tidak pernah tersilap bilangan waktu setiap kali melakukan sembahyang setiap hari.
Tok Sara tidak mempunyai harta yang boleh dibanggakannya tetapi kini dengan umurnya yang sudah mencecah 114 tahun, dia mempunyai enam suami, 27 cucu, 32 cicit dan dua piut.
Walaupun hidupnya sederhana tetapi dia mampu berbangga dengan ‘harta’ anak cucu yang dianugerahkan ALLAH SWT kepadanya selama ini.
No comments:
Post a Comment