Thursday, July 4, 2013

Siti NURHALIZA tidak keberatan jika diberi peluang menjaga anak dari Palestin???



 Siti NURHALIZA tidak keberatan jika diberi peluang menjaga anak dari Palestin.


BIARPUN jadual hariannya cukup padat dengan aktiviti seni, ia langsung tidak menghalang penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk melakukan kerja-kerja amal. 
Baru-baru ini penyanyi berkenaan telah menjayakan acara minum petang Rebuild Gaza For a Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani anjuran Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) dan Rabbani Production Sdn. Bhd. yang berlangsung di Hotel De Palma, Ampang, Selangor.
Antara matlamat utama penganjuran acara tersebut adalah bagi mengumpul dana untuk membangunkan semula Gaza di Palestin serta daerah yang musnah teruk angkara serangan Zionis Israel.
Siti yang ditemui selepas berakhirnya acara menyatakan, sebagai seorang umat Islam dia perlu bersikap lebih prihatin terhadap nasib saudara seagama di Palestin yang teruk ditindas.
“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya mempunyai impian untuk menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan mengikut jejak langkah beberapa artis lain seperti Heliza Helmi dan Afdlin Shauki.
“Kalau diizinkan oleh Allah dan suami, saya berharap dapat pergi ke sana, terutamanya ke Masjid Al-Aqsa dan Gaza. Saya sentiasa berdoa agar impian ini terlaksana,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia mempunyai rancangan untuk mengambil anak angkat atau menaja kanak-kanak Palestin, Siti memberitahu dia pernah berbincang mengenai perkara itu dengan pihak Mapim.
“Andai ditakdirkan saya menerima seorang kanak-kanak dari Palestin, sudah tentu saya gembira dan akan menjaga sebaik-baiknya. Cuma pihak Mapim menjelaskan agak sukar untuk membawa kanak-kanak Palestin keluar dari tanah air mereka.
“Saya diberitahu bahawa lebih baik mereka terus tinggal di negara asal. Namun begitu, untuk menaja pula rasanya tiada masalah. Saya memang berminat dengan langkah sebegini sebagai satu sumbangan kecil saya,” jelasnya.
Menurut Siti, dia akan berbincang terlebih dahulu dengan suaminya di samping mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Mapim tentang langkah seterusnya.

DATUK SITI NURHALIZA (berbaju hijau tua) bersama kumpulan Rabbani dan anggota Majlis Perundangan Islam Malaysia (Mapim) pada acara minum petang Rebuild Gaza For A Nation Feat Datuk Siti Nurhaliza & Rabbani baru-baru ini.

Siti belum dikurniakan anak sejak berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada tahun 2006.
Imej baik
Atas dasar keprihatinan yang ditunjukkan terhadap nasib umat Islam Palestin, Siti menerima kejutan apabila menerima Anugerah Kemanusiaan Mapim.
Menurut Siti, dia agak terkejut dengan anugerah itu, namun bersyukur. Dia berharap anugerah itu mampu memberi dorongan kepada dirinya dan rakan-rakan artis lain supaya prihatin terhadap nasib umat Islam yang lain.
“Kalau dilihat sumbangan saya ini agak kecil berbanding dengan beberapa ahli Mapim yang telah memberanikan diri pergi ke Palestin dan memberikan bantuan yang diperlukan,” ujarnya. 
Sementara itu, Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, Siti layak menerima anugerah berkenaan kerana dia mempunyai imej yang baik sebagai seorang artis serta bersikap kepada umat Islam Palestin.
“Sewaktu pihak Mapim mahu mengundang Siti untuk menjayakan acara minum petang ini sebagai salah satu aktiviti mengutip dana bagi membantu rakyat Palestin, dia terus menerimanya.
“Selain itu, kami banyak berkongsi mengenai keadaan terkini yang berlaku di Palestin. Akhirnya, ahli jawatankuasa Mapim mengambil keputusan untuk memberikan anugerah ini kepada Siti,” ujarnya. 
Pada majlis tersebut, Siti mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Oda Di Bumi Anbia, Ketika Cinta dan Kepadamu Kekasih, manakala Rabbani mendendangkan lagu-lagu seperti Intifada, Teman Sejati serta Mawar Berdarah yang merupakan lagu baharu mereka.
Lebih menarik lagi, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan meluangkan masa hadir pada acara tersebut. Pada masa yang masa berlangsung majlis pelancaran buku The Tunnel Girl tulisan Mohammad Qayyum Badaruddin dan Nur Sakinah Hanani Mohd. Azmi.
sumber:kosmo

No comments:

Post a Comment