MERLIMAU – Seorang ketua Pondok Polis Kemendor disahkan meninggal dunia sebelum memulakan tugasnya di hari penamaan calon bagi Parlimen Jasin di Pusat Penamaan Calon Politeknik Merlimau di sini, semalam.
Allahyarham Koperal Nordin Ahmad, 54, dipercayai rebah di hadapan pintu masuk kawasan berhampiran pusat penamaan calon lebih kurang jam 8 pagi akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, Allahyarham dikejarkan ke Poliklinik Merlimau sebelum disahkan meninggal dunia jam 8.15 pagi.
Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang Taman Intan, Batu Pahat Johor selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Jasin.
“Ketika berada di pintu masuk politeknik, arwah terjatuh secara tiba- tiba dan dikejarkan ke poliklinik berdekatan, tetapi doktor mengesahkan arwah meninggal dunia,” katanya.
Allahyarham merupakan salah seorang daripada 150 anggota polis di Jasin yang diarahkan bertugas pada penamaan calon di Politeknik Merlimau.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Norhayati Nordin dan dua anak berusia 13 dan 16 tahun.
No comments:
Post a Comment