Kos Perkahwinan Menyebabkan Ramai Lelaki Dan Wanita Banyak Membujang |
Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah
mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun
sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah
menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai emel
dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan. Ke
mana pergi adat budaya kita
Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu,
hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan
termasuk rantai kunci dan sapu tangan. Semua perubahan majlis
perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan
masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang
pasti kelihatan semakin mewah. Namun berapa ramaikah yang benar-benar
tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau
walimatulurus?
Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa
yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu
berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang
tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.
Adakah perkahwinan itu majlis kenduri atau majlis akad nikahnya? Adakah kenduri itu wajib diadakan?
Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan
seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan
sebaliknya. Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam
surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud:
- “Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku”. (riwayat Ibnu Majah)
Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak
berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia
juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri
zahir dan batin. Perkahwinan adalah sunat bagi seorang lelaki normal
yang jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan dia juga tidak
akan menganiaya isterinya jika berkahwin.
Pernikahan adalah makruh bagi sesaorang yang takut atau bimbang jika dia
berkahwin dia akan menganiaya isterinya kerana tidak mempunyai
pendapatan yang mencukupi atau perangai yang kasar atau tidak berminat
kepada wanita. Perkahwinan adalah haram jika dia yakin dengan
perkahwinannya dia akan menzalimi isterinya seperti tidak mampu
menanggung nafkahnya atau tidak mampu mengadakan hubungan seks.
Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak
tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah
ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya.
Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah
dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek
barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.
Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda
yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi
paling meriah dan paling mahal. Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis
perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka.
Namun berapa ramai yang tahu bahawa dalam satu majlis perkahwinan, akad
nikah itu wajib dilaksanakan kerana ia berlandaskan syarak.
Tanpa akad nikah maka tiadalah majlis perkahwinan. Orang dah kenyang
makan dan balik tetapi pengantin belum lagi sah suami isteri kecuali
pasangan telah selamat diakad nikahkan. Apa yang berlaku hari ini,
pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk
hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah
tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan
hiasan perkahwinan.
Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding
RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib.
Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan
pembaziran.
Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 mas
kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak
oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada
berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan
atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat
dinilai dengan wang.
Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak
hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh
pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi. Pasangan
mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki
hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.
Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah
boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya
RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah
dengan selamat. Tentunya ramai yang berkata “tidak mungkin” kerana hari
ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang
berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan
sebagainya).
Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan
cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut,
baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai
hantaran. Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran
sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa
jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada
RM50,000.
Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan
bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang
hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000. Ada yang
membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang
bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu
menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa
meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak
mencukupi.
Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih
malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai.
(Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan
20peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.)
Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun
dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos
perkahwinan yang sangat mahal. Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita
perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang
ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan
tinggi.
Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi
yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita perkahwinan
bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama
ada dia mampu untuk meminang. Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun
dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN,
pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung
RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja
RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan
perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50
bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi
28 tahun.
Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah
dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin.
Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan
perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu
mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumahtangga tanpa
hutang dan memulakan kehidupan rumahtangganya tanpa riba. Tepuk dada
tanya selera.
Note: Citer pasal kos perkahwinan amat memeningkan... bagi lelaki... sebanarnya banyak lelaki yang dah ada pilihan hati ataupun pasanagan ... tapi kos yang tinggi ini lah menjadikan beban kepada lelaki untuk berkahwin. bagi wanita jangan lah letak kos tu telalu mahal sangat lah kan mampus lelaki law kos tu terlalu tinggi... jo....
Note: Citer pasal kos perkahwinan amat memeningkan... bagi lelaki... sebanarnya banyak lelaki yang dah ada pilihan hati ataupun pasanagan ... tapi kos yang tinggi ini lah menjadikan beban kepada lelaki untuk berkahwin. bagi wanita jangan lah letak kos tu telalu mahal sangat lah kan mampus lelaki law kos tu terlalu tinggi... jo....